ASSALAMUALAIKUM....WELCOME TO ENTREPRENEURSHIP CORNER

Friday, 19 September 2014

PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

DEFINISI KEUSAHAWANAN

Menurut Kuratko dan Hodgetts (2004)telah mendefinisikan keusahawanan sebagai satu proses inovasi dan penciptaan melalui empat dimensi iaitu individu, organisasi,alam sekitar dan proses, dengan kerjasama rangkaian di dalam kerajaan pendidikan dan kelembagaan.

EVOLUSI KEUSAHAWANAN

Pada zaman permulaan
#Bermula seawal zaman Marco Polo yang melakukan perjalanan perdagangan ke Timur Tengah (Far East). Marco Polo telah menandatangani kontrak perjanjian dengan kapitalis untuk menjual produk mereka. Kapitalis merupakan penanggung risiko yang pasif. Pedagang yang belayar memainkan peranan aktif di dalam urusan perdagangan, menerima segala risiko fizikal dan emosi. Setelah pedagang berjaya menjual barang tersebut, keuntungan akan dibahagikan di antara kapitalis dengan pedagang.

Pada zaman pertengahan
#Seseorang yang terlibat dalam menjaga dan mengawal projek produksi yang besar. Menggunakan sumber-sumber yang digunakan oleh kerajaan dan tidak menanggung sebarang risiko.

Abad ke 17
#Keusahawanan adalah orang yang menandatangani kontrak perjanjian dengan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan atau membekalkan produk yang telah ditentukan. Harga kontrak adalah tetap. Oleh itu,kerugian atau keuntungan ditanggung sepenuhnya oleh usahawan. Antara contoh usahawan ialah pedagang, petani juru tukang dan sebagainya. Mereka membeli pada harga tertentu dan menjualnya pada harga yang tidak pasti, dengan ini mereka akan menanggung risiko.

Abad ke 18
#Usahawan dipisahkan daripada pemodal. Hal ini berlaku kerana perkembangan industri dan penciptaan yang berlaku diseluruh dunia. Sebagai contoh, Eli Whitney dan Thomas Edison merupakan seorang pengguna modal bukannya pembekal modal.

Abad ke 19 dan 20
#Usahawan tidak selalu dikaitkan dengan pengurusan. Pada pertengahan abad 20an, pereka cipta yang mencipta idea, produk dan teknologi baru dianggap sebagai usahawan.

Abad ke 21
#Usahawan mencipta banyak produk dan perkhidmatan serta sanggup menghadapi banyak risiko di dalam usahanya.

DEFINISI USAHAWAN

Kuratko dan Hodgetts (2004)telah mentakrifkan usahawan sebagai seseorang yang berusaha untuk mengatur, mengurus dan mengambil risiko di dalam perniagaan. Usahawan juga adalah pemangkin kepada perubahan ekonomi yang menggunakan carian dengan maksud tertentu, perancangan teliti dan pertimbangan yang sesuai apabila membuat sebarang proses perniagaan. Dengan optimistik dan komited, usahawan bekerja dengan kreatif untuk memperolehi sumber baru dan memperbaharui sumber lama kepada kapasiti yang baru dengan tujuan untuk mencipta keuntungan.

ASPEK ASAS KEUSAHAWANAN

Terdapat empat aspek asas di dalam keusahawan iaitu:
1. Keusahawanan terlibat di dalam mencipta sesuatu proses yang baru. Penciptaan tersebut mestilah mempunyai nilai kepada usahawan dan pasaran dimana proses tersebut dibangunkan.
2. Keusahawanan memerlukan kesetiaan terhadap masa dan usaha ynag dilakukan.
3. Keusahawanan adalah individu yang sanggup menanggung pelbagai risiko di dalam bidang perniagaan masing-masing terutamanya dari aspek kewangan, psikologi dan sosial.
4. Keusahawanan menerima banyak ganjaran apabila menjadi usahawan. Antara ganjaran yang diterima oleh seseorang usahawan ialah kebebasan, kepuasan peribadi dan keuntungan. Manakala ada sesetengah usahawan menganggap duit adalah simbol kejayaan.

KEPENTINGAN KEUSAHAWANAN

Pada hari ini, keusahawanan dianggap sebagai salah satu bidang yang terpenting di dalam dunia. Hal ini kerana keusahawanan telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi. Antara peranan keusahawanan di dalam pembangunan ekonomi ialah meningkatkan kadar per kapita pengeluaran dan pendapatan serta melibatkan perubahan kepada struktur perniagaan dan masyarakat. Perubahan terhadap struktur perniagaan dan masyarakat ini telah disertai oleh pertumbuhan dan peningkatan pengeluaran. Terdapat satu teori pertumbuhan ekonomi yang mengambarkan inovasi iaitu pembaharuan adalah kunci utama kepada perkembangan ekonomi di dalam membina produk atau perkidmatan baru di dalam pasaran. Aktiviti inovasi ini juga telah menjadi pendorong kepada para pemodal iaitu pelabur untuk melabur di dalam peluang baru yang dicipta. Keusahawanan melalui proses inovasi ini telah mencipta pelaburan baru di dalam dunia perniagaan, di mana ia akan menyebabkan ekonomi berkembang, membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu, keusahawanan juga akan melalui proses kreativiti dan inovasi dalam mencipta produk baru dan memberikan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak manusia. Ia menyediakan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan. Bagi penghasilan produk dan perkhidmatan yang lebih baik, mereka akan berusaha mencari kaedah yang terbaik untuk memaksimumkan sumber dan mengurangkan pembaziran. Oleh sebab itu pelanggan akan memperolehi produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga yang lebih murah.

Di samping itu, keusahawanan juga membantu memperbaiki kehidupan berjuta-juta manusia melalui produk dan perkhidmatan baru yang diperkenalkan kepada pasaran. Keusahawanan adalah individu yang bukan sahaja mencipta kekayaan tetapi turut sama mendorong pembahagian kekayaan.

MITOS KEUSAHAWANAN

Mitos keusahawanan ialah stereotaip atau cerita yang diada-adakan mengenai usahawan. Mitos ini timbul kerana masyarakat kurang mempunyai matlamat dan kurang mendalami ilmu yang berkaitan keusahawanan. Menurut Kuratko dan Hodgetts (2004), terdapat sepuluh mitos ynag sering diperkatakan oleh masyarakat terhadap usahawan. Mitos terhadap usahawan dan realitinya adalah seperti berikut:

MITOS 1: Usahawan adalah pelaksana bukan pemikir
REALITI: Walaupun usahawan lebih cenderung kepada pelaksanaan, tetapi mereka juga sering berfikir secara mendalam mengenai tindakan yang akan diambil. Mereka berfikir tentang alternatif lain sekiranya rancangan mereka gagal. Usahawan di era globalisasi jelas mempunyai daya fikiran dan penaakulan yang tinggi di samping melaksanakan segala perancangan yang telah diatur.

MITOS 2: Usahawan adalah dilahirkan bukan dibentuk
REALITI: Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa usahawan adalah mereka yang dilahirkan dengan ciri-ciri semulajadi sebagai seorang usahawan seperti agresif, pandai merebut peluang, berinisaitif serta berani menghadapi risiko. Namun begitu, pada masa kini penyelidikan dan pengiktirafan terhadap bidang keusahawanan berjaya membukyikan bahawa usahawan dapat dibentuk melalui proses pembelajaran dan latihan berdasarkan modul yang diatur. Kini, pembangunan usahawan tidak tertumpu kepada golongan dan ras tertentu sahaja. Rangka kursus serta latihan keusahawanan telah banyak membantu semua golongan masyarakat di Malaysia.

MITOS 3: Usahawan adalah seorang pencipta
REALITI: Pendapat yang menyatakan usahawan adalah seorang pencipta ekoran dari salah faham terhadap konsep keusahawanan. Walaupun ramai pencipta adalah usahawan, tetapi ramai usahawan berjaya tidak terdiri daripada kalangan pencipta. Kebanyakan usahawan yang berjaya mempunyai pemikiran yang kreatif dalam membangunkan perniagaannya. Sebagai contoh, Ray Kroc pengasas kepada MCDonald's memepunyai idea perniagaan francais yang kreatif serta telah menjadikan perniagaannya berjaya dipasarkan ke seluruh dunia.

MITOS 4: Usahawan adalah golongan yang tercicir dalam akademik dan masyarakat
REALITI: Kepercayaan bahawa usahawan adalah golongan yang tercicir dalam akademik dan masyarakat ekoran daripada ramai individu menceburi bidang keusahawanan setelah mereka tercicir dari akademik dan gagal dalam peperiksaan. Selain itu, ramai individu yang terpaksa memilih bidang perniagaan kerana dibuang kerja dan tidak sesuai bekerja di bawah orang lain. Pada masa kini, majoriti individu yang menyertai bidang keusahawanan dan berjaya menjadi usahawan adalah mereka yang berjaya dalam bidang akademik dan juga berjaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Ramai golongan dan ahli profesional menceburi bidang keusahawanan atas kesedaran untuk membangunkan ekonomi dan membantu masyarakat.

MITOS 5: Usahawan mesti memiliki semua ciri dan profil tertentu
REALITI: Sebelum menyertai bidang keusahawanan, bagi memastikan seseorang individu itu mempunyai ciri-ciri usahawan atau tidak, ramai yang merujuk kepada majalah dan buku yang mempunyai senarai semak tentang ciri-ciri dan profil usahawan berjaya yang disediakan di pasaran. Tetapi tidak semua usahawan yang berjaya dapat memenuhi standard senarai semak tersebut. Namun demikian, ada kaedah yang boleh digunakan untunk mengenal pasti ciri-ciri tertentu yang dapat memupuk dan melatih seseorang bagi menghadapi cabaran sebagai seorang usahawan. Oleh yang demikian, individu yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan tidak semestinya memiliki kesemua ciri dan profil seperti yang telah dinyatakan.

MITOS 6: Apa yang usahawan inginkan adalah wang
REALITI: Bagi sesebuah perniagaan, wang adalah penting untuk kesinambungan perniagaan. Namun begitu, banyak faktor lain yang boleh menyebabkan sesebuah perniagaan itu gagal seperti kegagalan mengurus manusia, sumber dan mentadbir perniagaan. Sebenarnya, usahawan memerlukan wang sebagai satu sumber penerusan perniagaan bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata. Usahawan pada masa kini sedar akan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

MITOS 7: Apa yang diperlukan oleh usahawan adalah nasib
REALITI: Sebagai seorang usahawan, berada pada tempat yang sesuai dan pada masa yang tepat adalah satu kelebihan baginya. Usahawan tidak bergantung kepada nasib semata-mata, tetapi usahawan akan menerima nasib yang baik apabila membuat perancangan yang baik dan teliti. Oleh yang demikian, kejayaan usahawan lebih bergantung kapeda perancangan, pengetahuan dan kesungguhan daripada bergantung kepada nasib semata-mata.

MITOS 8: Kejahilan adalah kelebihan bagi usahawan
REALITI: Kejahilan adalakanya dianggap satu kelebihan kerana apabila usahawan terlalu banyak merancang dan menilai boleh membawa kepada masalah. Ini disebabkan apabila usahawan tidak merancang, sesuatu yang tidak dapat dijangka akan timbul dan segala perancangan yang dibuat tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tetapi pada relitinya, dalam dunia perniagaan yang semakin sengit dan penuh dengan cabaran, usahawan memerlukan pengetahuan yang mantap dan kukuh terhadap kekuatan dan kelemahanya. Perancangan jadual kerja dan pembentukan strategi adalah kunci kejayaan bagi seseorang usahawan.

MITOS 9: Usahawan mencari kejayaan tetapi mengalami kadar kegagalan yang tinggi
REALITI: Terdapat yang menyatakan bahawa ramai usahawan yang menjalankan perniagaan akan menghadapi kegagalan sebelum mengecapi kejayaan. Memang benar ramai usahawan pernah menempuh kegagalan sebelum mencapai kejayaan, tetapi kegagalan yang dihadapi oleh mereka ini tidak membuktikan mereka akan gagal segala-galanya. Malah, kegagalan yang dihadapi akan mengajar dan mematangkan usahawan dalam keusahawanan. Selain itu, kegagalan itu juga dapat membentuk usahawan supaya lebih berhat-hati dan lebih gigih berusaha ke arah kejayaan. Usahawan sering mengambil ikhtibar dari kesilapan diri sendiri dan orang lain untuk dijadikan sebagai panduan di masa akan datang.

MITOS 10: Usahawan ibarat penjudi yang mengambil risiko tinggi
REALITI: Setiap indivivu menghadapi risiko dalam kehidupan seharian. Begitu juga dengan usahawan yang terpaksa berhadapan dengan risiko perniagaan. Walau bagaimanapun, seseorang usahawan akan melihat risiko sebagai peluang dan kelebihan untuk berjaya dalam perniagaannya. Usahawan yang bijak akan berhadapan dengan risiko yang telah dikira dan diperhitungkan bagi membolehkan beliau menangani setiap kemungkinan yang bakal dihadapainya. Selain itu, usahawan juga perlu mencari maklumat dan menggunakan saluran yang betul untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi.

PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DI MALAYSIA

Keusahawanan di Malaysia bermula seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila penduduk tempatan berurus niaga dengan pedagang asing. Apabila British memeritah Tanah Melayu, mereka telah menukarkan struktur sosial dengan menjalankan pemerintahan "Pecah dan Perintah". Dengan cara ini, kaum Melayu bekerja sebagai pentadbir di sektor pertanian, kaum Cina bekerja di lombong dan berniaga manakala kaum India bekerja di sektor perladangan. Hasilnya, kaum Cina lebih ke depan dalam soal perniagaan berbanding dengan kaum Melayu dan India.

Selepas kemerdekaan, kerajaan Malaysia menyedari betapa pentingnya keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara, dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada keamanan negara. Semenjak dari itu, kerajaan telah mengfokuskan kepada keusahawanan sehinggalah sekarang. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020 menyebabkan semua pihak memberi sokongan terhadap pembangunan keusahawanan di Malaysia.

Kerajaan memberikan galakan pembangunan keusahawanan dan memberikan pengikhtirafan kepada keusahawanan kerana mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara. Pada tahun 1995, kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Keusahawanan sebagai badan yang mengawal dan mempromosikan pembangunan keusahawanan di Malaysia. Kini, kementerian tersebut telah ditukar kepada Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.